Saturday, August 14, 2010

Penyakit Hati dan Akal Yang Perlu Dihindari

Salam sejahtera dan salam perjuangan kepada seluruh umat Umat Islam,

Rasanya tidak terlewat ingin saya sampaikan salam dan selamat berpuasa kepada semua kaum muslimin dan umat muslimat dan hari ini merupakan hari ke empat kita sebagai umat Islam menjalani ibadah berpuasa. Terasa begitu singkat waktunya sedangkan bulan Ramadhan yang lalu seperti masih lagi dirasai suasananya. Ini menunjukan waktu di dunia ini semakin singkat usianya dan sudah sampai masa ke penghujung. Ini bertepatan seperti yang dijelaskan oleh Anas r.a. bahwa Rasulullah saw. bersabda,

“Saya diutus (oleh Allah) dan jaraknya dengan hari kiamat sebagai dua jari ini.” (Beliau sambil menunjukkan dua jarinya yakni jari telunjuk dan jari tengah) Hadith Riawat Bukhari Umat Islam dan Tirmizi).


Oleh itu sebagai seorang umat Islam yang menegakkan agama Allah dan umat Islam yang sentiasa ingin memperolehi keredhaanNya maka perlu sentiasa berusaha ke arah lebih baik dalam segala segi kehidupan samada untuk mencapai kebahagian di akhirat dan mencapai kejayaan di dunia. Kedua-dua amat penting dan amat diperlukan oleh setiap umat Islam. Tanpa kejayaan kita di dunia maka tiada juga kebahagian di akhirat kelak.

Kegagalan sebahagian besar umat Islam adalah kerana mereka gagal dalam mencapai kedua-duanya iaitu kebahagian di akhirat dan kejayaan di dunia. Ada dikalangan sebahagian umat Islam beranggapan kejayaan di dunia adalah merupakan kejayaan yang sementara dan tidak perlu memberikan fokus kepada urusan keduniaan kerana beranggapan dunia hanya semata-mata untuk kejayaan orang-orang kafir. Sedangkan kita melupai bahawa Allah telah memberikan nikmat dan kebahagian kepada setiap umat Islam di dunia yang berusaha mencari kejayaan dan kerahmatan dari Nya seperti mana dijelaskan dalam firman Allah bermaksud:

“Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa)”. Surah Al-Baqarah ayat 22

Dan sesungguhnya Allah juga melimpahkan ruahkan rezekinya kepada orang-orang yang beriman atas usaha gigih mereka melalui firmanNya :-

“…Padahal orang-orang yang bertakwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).” Surah Al-Baqarah ayat 212

Oleh demikian apakah kita sebagai umat Islam harus berpeluk tubuh membiarkan segala rezeki dan peluang yang ada dinegara ini dipunyai oleh pihak lain dengan alasan bahawa kejayaan didunia adalah kejayaan yang sementara dan kerana ianya hanya untuk orang-orang kafir? Kesilapan ini yang menjadikan kita tertewas dan menghadapi kemunduran dalam kehidupan kita sebagai seorang umat Islam dengan meninggalkan terus dunia semata-mata untuk mencapai akhirat .

Kejayaan dunia yang bagaimana perlu diusahakan agar kita akan mendapatkan ketakwaan dari Nya? Sesungguhnya kita sendiri secara langsung atau tidak langsung telah dimaklumkan dan diberikan panduan mengenai bagaimanakah cara untuk kita memperolehi rezeki yang halal. Acap kali kita diperingatkan oleh IbuBapa kita, guru kita dan ustaz kita bahawa untuk mendapatkan rezeki yang halal, segala bentuk pekerjaan samada pekerjaan yang melibatkan makan gaji atau berniaga yang dilakukan itu haruslah diterapkan dengan sifat atau sikap yang penuh dengan kejujuran, keikhlasan, kesabaran dan ketakwaan kepada Allah SWT. Dengan adanya sikap seperti ini di dalam diri setiap umat Islam sudah pasti kejayaan dan kecemerlangan akan tercapai dan umat Islam akan menjadi masyarakat yang lebih hebat. Selain itu jangan sesekali kita melupai Allah S.W.T dengan sentiasa berdoa dan memohon rahmat dariNya kerana dengan kemurahan dan kasih sayangNya kita berjaya dan menjadikan kita umat Islam yang cemerlang.

“Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab Neraka.” Surah Al-Baqarah ayat 201

Untuk mencapai kejayaan ini, mungkin antara kita akan bertanya iaitu bagaimanakah cara untuk kita memperolehinya. Adakah hanya dengan bekerja kuat sahaja tanpa mengira waktu dan masa?, adakah dengan hanya berdoa sahaja mengharapkan segala usaha kita membuahkan hasil? Saya ingin berkongsi pandangan dengan semua umat Islam mengenai bagaimana caranya kita boleh menikmati kejayaan dengan baik sebagai seorang umat Islam. Saya ada membaca sebuah karya penulisan salah seorang tokoh tersohor dunia Islam iaitu Dr. Sayyid Muhammad Nuh, seorang ulama besar, ahli hadith yang terhormat dunia Islam yang membangkitkan mengenai masalah atau penyakit umat Islam yang menyelubungi hati, jiwa dan akal mereka dalam usaha mengejar kejayaan dan melaksanakan perubahan (reformasi) ke arah yang lebih baik.

Penulisan beliau mengenai pelbagai penyakit umat Islam telah membuka mata dan hati saya mengenai pentingnya kita sebagai umat Islam menghindarinya. Pada zaman ini terdapat usaha-usaha kuat dari para reformasi Islam yang bercita-cita untuk menegakkan kalimah dan peraturan Allah dibumi ini dan hasilnya terdapat sebahagian besar antara mereka yang telah mula tewas, gagal, kecewa dan melencong dari tujuan sebenar dalam usaha murni itu kerana mereka telah gagal dalam mengatasi ‘penyakit’ yang sentiasa berada di dalam hati mereka dan akal mereka.

Apakah penyakit-penyakit umat yang diperkatakan ini? Dibawah disenaraikan dua belas (12) jenis penyakit hati dan akal yang sering membelenggu diri setiap umat Islam untuk mencapai kejayaan. Penyakit-penyakit itu ialah :

1. FUTUR
2. ISRAF
3. ISTI’JAL
4. UZLAH
5. I’JAB BIN NAFSI
6. GHURUR
7. TAKABBUR
8. RIYA’ DAN SUM’AH
9. ITTIBA’UL HAWA
10. AT-TATHALI’U ASH-SHADAARAH WA THALABU AR-RIYAADAH
11. DHAYYIQUL-AFAQ AWQASHIRUN NADZAR
12. DHA’FU AW TALASYI AL ILTIZAM

Untuk menjelaskan secara terperinci dan lebih mendalam bukanlah merupakan bidang saya dan ianya diluar dari kemampuan serta pengetahuan saya untuk menghuraikan secara lebih ilmiah kerana ketiadaan latar belakang keagamaan yang kuat. Saya sepertimana sesetengah umat Islam yang lain akan berusaha untuk mempelajari dan mengambil iktibar darinya.

Dua belas (12) penyakit tersebut akan saya perjelaskan kelak berdasarkan karya Dr Sayyid Muhammad tanpa ada apa-apa perubahan dan penambahan ayat. Sesungguhnya usaha saya ini akan mendapat kebenaran dari Dr dan para keluarga beliau untuk menyampaikan sesuatu ilmu yang memanafaat dan berguna ini kepada umat Islam.

Wassalam

Achmad Abdollah

No comments:

Post a Comment